Berita Semasa

7,601 premis perniagaan tolak penggunaan beg plastik sekali guna

PETALING JAYA – Kempen “Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna” yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menarik penyertaan sebanyak 7,601 premis perniagaan di seluruh negara.

Pelancaran kempen ini disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam satu majlis yang diadakan di 1 Utama Shopping Centre di sini.

Kor Ming dalam ucapannya menekankan kepentingan tindakan segera dan drastik untuk mengatasi masalah penggunaan plastik sekali guna yang semakin membimbangkan.

“Plastik memerlukan berabad lamanya untuk terurai, dan sepanjang tempoh tersebut, ia boleh mencemarkan tanah, air serta mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia dan hidupan liar.

“Kita semua, dari pengguna hingga peruncit, harus memainkan peranan dalam mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali guna. Langkah ini perlu diambil demi memastikan kelestarian alam sekitar bagi generasi masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan alternatif yang lebih mesra alam seperti penggunaan beg kain serta bekas makanan dan minuman yang boleh diguna semula sebagai langkah untuk menggantikan penggunaan beg plastik.

Mengulas mengenai impak sisa plastik, Kor Ming menjelaskan bahawa sisa plastik menyumbang sebanyak 13.2 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal negara, menjadikannya komposisi sisa kedua terbesar selepas sisa makanan yang mencatatkan 44.5 peratus.

Katanya, lebih 85 peratus daripada sisa plastik tersebut berakhir di tapak pelupusan, sekaligus mencetuskan cabaran besar kepada pengurusan sisa dan alam sekitar.

“Keadaan ini tidak hanya membebankan tapak pelupusan, malah turut mengancam kesihatan manusia dan hidupan liar. Kita perlu mengurangkan jumlah plastik yang dibuang ke tapak pelupusan untuk melindungi alam sekitar,” katanya lagi.

Sempena majlis tersebut, Kor Ming turut menyerahkan Sijil Aku Janji kepada 20 wakil kedai serbaneka yang telah menyatakan komitmen mereka untuk menolak penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di premis masing-masing.

Ini menunjukkan sokongan kuat daripada sektor peruncitan dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik yang tidak mesra alam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Persekitaran Mampan), Datuk Saidatu Akhma; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Datuk Mohd Zamri
serta wakil-wakil daripada kementerian dan agensi kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button