Perodua, Toyota patuhi piawai keselamatan Peraturan UN – Anthony Loke
PUTRAJAYA – Ujian semula ke atas kenderaan Perodua dan Toyota mengesahkan semua model jenama berkenaan mematuhi sepenuhnya piawai keselamatan Peraturan United Nations (UN).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kedua-dua jenama berkenaan turut disahkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) semasa.
Oleh itu, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan, kesemua laporan pengujian semula tersebut dipaparkan kepada umum menerusi laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) https://bit.lv/JPJDaihatsu.
“Pihak JPJ akan meneruskan pemantauan secara tegas ke atas kedua-dua pengeluar kenderaan tersebut serta pihak Daihatsu Motor Corporation (DMC) bagi memastikan mereka telah melaksanakan tindakan penambahbaikan yang telah ditetapkan
“Antara penambahbaikkan terlibat adalah pengemaskinian tatacara pelaporan pengujian dalaman dan pelaksanaan aktiviti pematuhan pembuatan secara berkala melibatkan pihak berkuasa iaitu JPJ secara berkala,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Sebelum ini, timbul isu bahawa pihak DMC Japan didakwa ‘mengolah’ prosedur pengujian keselamatan kenderaan menyebabkan Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan pengujian semula membabitkan enam pematuhan Peraturan UN.
Skop Peraturan UN yang terlibat bagi tujuan pengujian semula kereta berkenaan melibatkan ‘door latches, door retention component,pedestrian protection, seats anchorage, seat-head restraints, brake system dan frontal impact’ dan ‘side impact’.
Menurut Anthony lagi, terdapat enam model terlibat di bawah jenama Perodua iaitu Axia (generasi pertama), Axia (generasi kedua), Alza (generasi kedua), Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi, manakala bagi Toyota pula, terdapat tiga model yang terlibat iaitu Rush, Vios dan Veloz.
“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu tersebut di dalam pasaran Malaysia,” katanya lagi.
Jelasnya, sesi pengujian semula kenderaan terbabit telah dilaksanakan sepenuhnya pada Mac lalu oleh pihak Technical Services (TS) yang diiktiraf oleh World Forum Harmonisation of Vehicle Regulation (WP29) menerusi rangka kerja United Nations Type Approval.