
Pelaksanaan cukai jalan kenderaan, lesen memandu digital tidak akan dikaji semula – Anthony Loke
JOHOR BAHRU – Dasar pelaksanaan cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital akan terus dikekalkan kerana ia sejajar dengan dasar digitalisasi negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak akan mengkaji semula dasar pelaksanaan tersebut walaupun terdapat permintaan beberapa pihak.
“Kementerian tidak akan kaji semula (pelaksanaan cukai jalan dan LNM secara digital).
“Kita kena progresif kerana ketika ini, sudah banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan dan lesen memandu.
“Namun (pengguna) masih boleh cetak cukai jalan digital ini jika terdapat keperluan termasuk mematuhi peraturan negara jiran, tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak terutamanya pengguna meminta supaya kerajaan mengembalikan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu fizikal berikutan ia menjadi keperluan memasuki negara jiran, termasuk Thailand.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pengguna hanya perlu mencetak cukai jalan dan lesen memandu digital jika mereka memasuki negara jiran.
“Sekiranya hendak ke luar negara, boleh cetak sahaja cukai jalan atau lesen memandu. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik.
“Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.
“Jika hendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu cukai jalan atau lesen memandu fizikal, cetak sahajalah, tak susah pun,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |