KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan empat unit tren elektrik (ETS) sempena Aidiladha ini.
KTMB dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, penambahan itu melibatkan masing-masing dua tren bagi laluan Padang Besar-KL Sentral dan sebaliknya serta KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya.
Tren tambahan bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya akan beroperasi bermula 13 hingga 18 Jun dan 21 hingga 23 Jun manakala laluan Butterworth ke KL Sentral dan sebaliknya beroperasi dari 13 hingga 18 Jun.
“Sebanyak 9,450 tiket tren tambahan termasuk koc kelas perniagaan akan mula dijual Ahad (26 Mei) pada pukul 3 petang. Penambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Orang ramai disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus menerusi laman sesawang rasmi KTMB,” kata kenyataan itu.
KTMB turut menasihati pengguna supaya merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.