Berita Semasa

Gangguan LRT: DBKL arah pemaju bangunan 44 tingkat henti kerja

BANGI – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja serta-merta kepada pemaju projek pembinaan blok 44 tingkat Menara Soho yang didakwa menyebabkan gangguan perkhidmatan Aliran Ringan (LRT) bagi Laluan Ampang yang berlaku pada 27 Januari lalu.

Arahan itu diberikan kepada kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu pemilik projek di jalan Raja Laut itu.

Menurut cadangan pembinaan projek, satu blok  44 tingkat itu akan menempatkan 326 unit kediaman dengan satu ruang basement.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, mesyuarat bersama pihak-pihak yang berkenaan telah memutuskan perkara itu bagi membolehkan tindakan dan siasatan dijalankan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil daripada mesyuarat bersama wakil dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat pada 28 Januari lalu.

“Arahan ini dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini.

“Projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu membabitkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone),” katanya.

Ujar Mahadi, DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan membabitkan pihak APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan kereta api.

Show More

Related Articles

Back to top button