PM X

PM Anwar seru golongan muda pertingkat, pertahan perpaduan

JOHOR BAHRU – Golongan muda di negara ini diseru agar mempertingkat dan mempertahankan perpaduan sesama kaum yang selama ini telah dibina di negara ini.

Seruan tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sebelum merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Angsana Mall di sini, malam ini.

Menurut Perdana Menteri, perjuangan dan jasa tokoh-tokoh terdahulu yang berjuang demi mencapai kemerdekaan Malaysia menerusi penyatuan pelbagai kaum perlu sentiasa diingati.

“Tanggungjawab anak-anak muda, generasi muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan kerana negara boleh bangkit disebabkan semangat perpaduan, negara juga boleh hancur kerana perpecahan dan ketidaksefahaman perkauman,” katanya.

Hadir sama, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meminta agar Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memainkan peranannya untuk memperkasakan aktiviti rukun tetangga agar lebih progresif.

“Saya tekankan kepada Menteri Perpaduan dan kementerian beliau supaya memberikan penekanan serta menjelajah ke seluruh negara sehingga ke peringkat akar umbi khususnya di peringkat sekolah untuk menyuburkan lagi semangat perpaduan,” ujarnya lagi.

Sambutan Minggu Perpaduan anjuran KPN adalah inisiatif di bawah agenda perpaduan nasional yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.

Ia bermatlamat menyemarakkan semangat perpaduan selain menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Terdahulu, KPN telah mengadakan Jelaiah Kembara Perpaduan dengan Negeri Sabah sebagai destinasi pertama, dilkuti oleh negeri Sarawak, WP Labuan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan mewakili zon.

Negeri Johor dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan dengan harapan agar dapat menguatkan lagi semangat patriotik dan kesetiaan kepada negara.

Show More

Related Articles

Back to top button