Wanita tunggang motosikal bersama 2 anak jadi mangsa ragut
SEREMBAN – Seorang wanita yang menunggang motosikal bersama dua anaknya diragut di Taman Bandar Senawang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek yang juga bermotosikal meragut gelang tangan wanita berkenaan sebelum melarikan diri, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Polis mengesan satu video klip berdurasi 16 saat yang tular di media sosial X memaparkan satu kejadian ragut melibatkan seorang wanita yang sedang menunggang motosikal bersama dua anaknya.
“Suspek lelaki menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna biru telah meragut gelang tangan emas milik mangsa di simpang jalan Dareca 2, Taman Bandar Senawang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa berusia 33 tahun bernasib baik kerana berjaya mengawal motosikalnya daripada terjatuh dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu katanya, polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Mohd Zaini di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban 06-6033222,” katanya.