Aloha Party dibuat tanpa permit, kerajaan negeri akan panggil pemilik resort esok – Dr Azman
KUALA LUMPUR – Parti hiburan, Aloha Party yang diadakan di sebuah resort swasta di Pulau Lang Tengah, Terengganu dibuat tanpa permit dan kebenaran kerajaan negeri.
Exco Pertanian Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sehubungan itu pihaknya akan memanggil pemilik resort swasta itu untuk memberikan penjelasan.
“Esok 23 Mei, pemilik resort bukan Melayu akan dipanggil untuk siasatan dan diambil keterangan. Tindakan selanjutnya adalah berdasarkan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Terdahulu tular video dan poster parti hiburan itu yang diadakan di sebuah pulau di Terengganu pada 20 Mei lalu.
Parti itu mengejutkan ramai pihak kerana menampilkan peserta berpakaian seksi dan hiburan melampau.
Sementara itu Dr Azman dalam satu hantaran lain berkata, Pulau Lang Tengah tempat berlakunya Aloha Party tidak mempunyai penduduk.
“Di Terengganu dari 26 buah pulau hanya 2 pulau yang ada perkampungan atau penempatan penduduk iaitu Redang dan Perhentian. Pulau lain hanya ada resort atau chalet seperti Lang Tengah dan Tenggol. Ada pulau yang kosong tanpa sebarang binaan seperti Pulau Rawa dan Pulau Susu Dara.
“Pulau Lang Tengah tempat berlaku Aloha Party tak ada penduduk. Hanya ada sebuah resort di situ milik bukan Melayu non muslim.
“Tentunya pihak berkuasa tak akan mampu untuk nak awasi 24 jam semua aktiviti yang berlaku di sebuah pulau yang tiada penduduk seperti Lang Tengah. Bila ada maklumat dan bukti maka tentu kerajaan negeri tak akan berlepas tangan,” katanya.