Berita SemasaPM X

Boleh kritik tapi jangan sentuh 3R – PM Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi kebebasan kepada media Malaysia untuk mengkritik namun ia dihadkan terutamanya bila membabitkan perkara sensitif seperti kaum, agama dan raja (3R).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak kisahlah sama ada kita diturunkan (kedudukan dalam indeks kebebasan media), tetapi apa yang penting ialah kritikan dibenarkan… isunya ialah apabila anda menyentuh isu 3R, mengutuk kaum, agama, mengajak dan menghasut melakukan rusuhan, kita tidak boleh ada perkara itu dalam negara kami,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam temubualnya bersama Sami Zeidan dalam program ‘Talk To Al Jazeera’ yang disiarkan di saluran Al Jazeera, kelmarin.

Dalam temubual tersebut, Perdana Menteri diminta mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, yang menunjukkan kejatuhan signifikan 34 anak tangga daripada 73 ke 107 dalam tempoh setahun.

Namun di bawah pentadbirannya, kata Anwar, kerajaan tidak pernah menahan mana-mana wartawan atau mengharamkan mana-mana surat khabar di negara ini kerana mengkritik kerajaan.

Mengenai dakwaan yang mengatakan penglibatan Yang di-Pertuan Agong dalam cadangan penubuhan kasino di Johor misalnya, Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi raja Melayu.

Perkara sebegini akan memberikan kesan signifikan terhadap sentimen orang ramai, yang berpotensi mewujudkan keadaan yang tidak baik.

“Pertamanya, kerana ia suatu fitnah dan keduanya, anda menyentuh Perlembagaan (Persekutuan)… Ia secara faktanya salah… tidak ada sebarang cadangan untuk membuka kasino baharu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar juga telah menafikan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen untuk sebuah kasino bagi memulihkan semula Forest City di Johor.

Ketika ditanya tentang kritikan mengenai usaha reformasi ekonomi dan demokrasi kerajaan yang dilihat perlahan selain penyiasatan kes rasuah berprofil tinggi sejak beliau memegang jawatan, Anwar berkata, cubaan untuk membetulkan perkara yang telah berdekad-dekad berlaku dalam tempoh satu tahun setengah memegang jawatan, merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kita telah melihat usaha yang sama sebelum ini, walaupun pada pengalaman Eropah Timur, di mana negara yang anda kenali, bersikap gung ho mengenai reformasi pantas yang mendatangkan bencana kepada ekonomi dan persediaan politik.

“Dalam kes kami, bertentangan dengan penerapan atau dakwaan oleh pihak pembangkang, perkara yang paling penting ialah tadbir urus.

“Apa yang kami berjaya lakukan adalah untuk memeriksa penyalahgunaan (kuasa) oleh pemimpin, anggota Kabinet daripada membazirkan kekayaan melalui rundingan terus, melalui tender berjumlah berbilion-bilion.

“Kami sudah hentikannya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button