Berita Semasa

Seorang anggota Malbatt bertugas di Lubnan meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), Sarjan Faridah Abd Rahman yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan, Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah, sekitar pukul 2.25 pagi (waktu Lubnan).

“Allahyarhamah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila beliau rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

“Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jenazah Allahyarhamah akan dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Ujarnya, proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada hari ini jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia.

“Allahyarhamah berusia 39 tahun dan berasal dari Pendang, Kedah. Allahyarhamah mula memasuki perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat semenjak 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

“Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai 4 orang anak iaitu tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 4 hingga 10 tahun,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button