Berita Semasa

Loke nafi dakwaan Khazanah jual MAHB kepada syarikat asing

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membidas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah menjual Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing.

Menurut Loke, keputusan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil alih semua saham MAHB adalah langkah yang tepat dan disokong kerajaan.

Jelas Loke, langkah penswastaan itu membolehkan Khazanah dan KWSP meningkatkan lagi pegangan dalam syarikat berkenaan menerusi yang konsortium diterajui mereka.

“Ada dakwaan kata Khazanah jual MAHB kepada syarikat asing, itu tidak benar, ini maksudnya konsortium ini akan menguasai MAHB dengan lebih banyak.

“Bagi Kementerian Pengangkutan, kita selari dan seiring dengan tindakan serta keputusan Khazanah kerana Khazanah sebagai pengurus aset strategik kerajaan, sudah tentu kita sokong langkah ini,” katanya selepas ditanya mengenai keputusan Khazanah dan KWSP mengambil alih saham MAHB yang belum dimiliki mereka serta dakwaan Khazanah menjual syarikat itu kepada pihak asing.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.

Kelmarin, Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA) itu terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd; KWSP; anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA); dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus ketika ini kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB, sementara ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham.

Show More

Related Articles

Back to top button