Berita SemasaBisnes & Ekonomi

PADU sudah bersedia, hanya tunggu masa sesuai

PUTRAJAYA – Kerajaan dalam proses menambah baik fungsi landskap sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan tumpuan untuk menyediakan data lengkap sebelum mekanisme itu dilaksana sepenuhnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun pangkalan data PADU telah sedia untuk digunakan termasuk bagi program subsidi bersasar, kerajaan masih menilai masa pelaksanaan yang sesuai.

Beliau berkata, pelaksaan PADU kekal seperti dirancang tetapi pelaksanaan dan penyusunannya perlu diteliti bagi mengelak kesan ekonomi dalam pasaran termasuk spekulasi inflasi.

“Kerajaan sedang cuba sedaya upaya untuk mengelakkan spekulasi inflasi, justeru yang terbaik kami simpan dahulu penyusunannya (PADU).

“Rahsia ini untuk menguruskan keseimbangan mengenai bagaimana tindakan pasaran dan masyarakat,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran rancangan realiti INNOVATHON musim kedua, di sini hari ini.

Katanya, melalui pemberian subsidi bersasar misalnya, akan wujud sesetengah pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan mengaut keuntungan.

“Apa yang terbaik bagi kerajaan buat masa ini adalah untuk menyediakan kesemua maklumat berkenaan data.

“Apabila kerajaan merasakan ia tempoh yang sesuai dan mekanisme yang sesuai telah diputuskan, ia akan berlaku,” katanya lagi.

Pada 2 Januari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU iaitu sebuah sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah, meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Ia berfungsi sebagai pangkalan data utama negara yang selamat bagi menyediakan maklumat dan data lengkap rakyat negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button