Berita Semasa

Penduduk Malaysia cecah 34 juta rangkumi 17.4 juta lelaki, 15.8 juta perempuan – DOSM

PUTRAJAYA – Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024 dianggarkan berjumlah 34 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 (33.2 juta), lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara.

“Jumlah penduduk ini merangkumi 30.6 juta (90 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku tahun pertama 2023 dan perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata, penduduk Melayu menyumbang 57.9 peratus (17.7 juta) daripada jumlah penduduk pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2023: 17.6 juta).

“Penduduk Cina, India dan Bumiputera Lain kekal kepada 22.6 peratus, 6.6 peratus dan 12.2 peratus.

“Bumiputera Sabah merangkumi Kadazan/Dusun (2.1 peratus), Bajau (1.8 peratus), Murut (0.3 peratus), manakala Bumiputera Sarawak merangkumi Iban (2.4 peratus), Bidayuh (0.7 peratus) dan Melanau (0.4 peratus),” ujarnya.

Sementara itu, penduduk umur muda (0 – 14 tahun) dan umur bekerja (15 – 64 tahun) masing-masing meningkat daripada 7.5 juta dan 23.2 juta kepada 7.7 juta dan 23.8 juta pada suku tahun pertama 2024, manakala komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal tidak berubah pada 2.5 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button