Berita Semasa

Buku ‘Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses’ dilancar

KUALA LUMPUR – Buku “Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses” dilancarkan dalam majlis penuh bermakna di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pengerusi Yayasan Tun Razak (YTR), Tan Sri Nazir Razak dalam ucapan pembukaannya menyatakan penghormatan kepada Sultan Nazrin yang berkenan mencemar duli bagi melancarkan buku yang mengangkat legasi Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua Malaysia.

“Kehadiran Tuanku adalah satu penghormatan besar kepada keluarga, rakan-rakan Allahyarham (Tun Razak) dan juga Yayasan Tun Razak.

“Buku itu bukan hanya untuk mengenang jasanya, tetapi juga untuk memahami dan menilai relevansi tindakan dan dasar beliau dalam konteks pembangunan negara hari ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut berkongsi bahawa buku tersebut merupakan inisiatif terakhir yang dimulakan di bawah pimpinan Pengerusi YTR terdahulu, Allahyarham Tun Hanif Omar yang telah mengabdikan dirinya selama 29 tahun di yayasan itu.

Buku yang diterbitkan oleh YTR itu mengumpulkan pelbagai perspektif tentang visi dan aspirasi Allahyarham Tun Abdul Razak untuk Malaysia, termasuk peranan beliau dalam membentuk semula sistem negara selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Nazir berkata, buku tersebut bukan sahaja merakamkan sumbangan Tun Razak tetapi juga menjadi panduan untuk memperbaiki institusi negara, memperkukuhkan perpaduan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam ucapannya, Nazir turut berkongsi rancangan YTR untuk memperbaharui Memorial Tun Razak di Taman Tasik Perdana.

“Kami telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk bekerjasama dengan Arkib Negara dan ThinkCity bagi memulihkan Memorial Tun Razak dan membangunkan muzium sejarah politik moden di tapak itu. Kami berharap cadangan itu mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

Nazir turut menyentuh usaha yayasan itu untuk memperkukuh program kepimpinan belia melalui Program Kepimpinan Tun Razak yang telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 belia sejak diperkenalkan 30 tahun lalu.

Majlis turut dihadiri oleh pelbagai tokoh negara, antaranya Tun Musa Hitam, Toh Puan Hajah Dr Aishah Ong, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Pelancaran buku itu diharapkan dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan Allahyarham Tun Razak dalam membina Malaysia yang bersatu padu dan maju.

Show More

Related Articles

Back to top button