Berita Semasa

Jumlah kelahiran di Malaysia susut 9.4 peratus, kematian menurun 1.5 peratus bagi 1Q24

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan jumlah kelahiran hidup di negara ini merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus dengan 106,386 kelahiran pada suku pertama tahun ini (1Q24) berbanding 117,413 kelahiran pada suku tahun pertama lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari.

Menurut beliau, jumlah bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,639 kelahiran dalam tempoh yang sama.

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran (18.8 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (323 kelahiran: 0.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Uzir, Ibu berumur 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi laitu 55,864 (52.5 peratus) pada suku tahun ini, dilkuti oleh ibu berumur 20 – 29 tahun (40.0 peratus), 40 tahun dan lebih (6.0 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.5 peratus).

“Melayu menyumbang 68.8 peratus (73,136 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2023: 67.6 peratus).

“Kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 8.8 peratus dan 3.7 peratus berbanding 9.7 peratus dan 4.3 peratus pada suku tahun pertama 2023, manakala Bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 12.7 peratus pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2023: 12.6 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, sebanyak 47,964 kematian telah direkodkan pada suku tahun pertama 2024, penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu 48,693 kematian.

Jelas beliau, secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 533 kematian sehari pada suku tahun pertama 2024.

“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,434 manakala 20,530 kematian bagi perempuan. Pada tempoh masa yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi laitu 7,730 kematian (16.1 peratus).

“Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1 peratus). Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button