
Anggota Ops Starlight II kembali ke tanah air
SEPANG – Seramai 110 pegawai dan anggota Tim Misi Operasi Starlight II kembali ke tanah air hari ini setelah enam minggu bertugas membantu mangsa bencana gempa bumi di Turkiye.
Kepulangan pasukan yang terdiri daripada pegawai perubatan, staf kesihatan, staf sokongan dan pakar perkhidmatan klinikal yang mula ditugaskan secara berperingkat sejak pertengahan Februari lepas itu disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini petang tadi.
Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) mula diaktifkan pada 9 Feb lepas dan terletak di Celikhan, Aditaman iaitu kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep, kawasan paling terjejas akibat gempa bumi Turkiye. Penugasan HMM tamat pada 23 Mac.
Kata Affendi, sepanjang tempoh operasi, HMM telah merawat seramai 2,415 pesakit termasuk 83 kes pembedahan manakala 159 pesakit pula diberikan rawatan melalui pendekatan ‘Forward Medical Team’ (FMT).
“Pendekatan FMT adalah dengan mengatur gerak petugas kesihatan HMM ke rumah penduduk di sekitar Celikhan dan memeriksa warga tua yang lemah untuk disaring serta dibawa ke HMM bagi rawatan lanjut sekiranya perlu,” kata Affendi dalam satu sidang akhbar yang diadakan sejurus sambutan kepulangan tersebut.
Tambahnya, peralatan HMM yang digunakan dalam operasi tersebut melibatkan 24 khemah, katil medan, dan ubat-ubatan, turut disumbangkan kepada Turkiye bagi membantu dan meneruskan proses pemulihan kesihatan di negara itu.
Ditanya sama ada aset ATM masih mencukupi bagi membina HMM lain susulan pemberian sumbangan tersebut, beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai aset mencukupi dan lengkap.
“Kita memang ada simpanan (untuk HMM). Sebenarnya HMM ini boleh dibina dalam waktu yang singkat dengan urusan atur gerak anggota. Jika ada arahan daripada kerajaan bagi sebarang bantuan bencana dalam masa 48 jam, kita boleh gerakkan HMM,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune