Gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur 5 Jun ini
SHAH ALAM – Air Selangor memaklumkan pelaksaanan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual sementara di beberapa kawasan di negeri ini.
Menurut Air Selangor, wilayah yang terjejas termasuk di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor bermula jam 9.00 pagi, 5 Jun ini.
“Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada jam 7.00 malam, 5 Jun dan para pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3.00 pagi, 6 Jun setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Tambah Air Selangor, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20 peratus pada jam 3.00 petang, 6 Jun diikuti dengan 90 peratus pada jam 3.00 pagi, 7 Jun.
Walaubagaimanapun, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat).
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.