Berita Semasa

Kerjasama orang ramai, pihak berkuasa banteras ajaran sesat

Berikutan cubaan pihak tertentu sebarkan semula ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace

GEORGE TOWN – Orang ramai digesa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan ajaran sesat di dalam negara.

Gesaan itu dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berikutan ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace cuba ditularkan kembali menerusi media sosial di negara ini.

Wan Salim berkata, terdapat pihak yang cuba disebarkan semula walaupun telah lama difatwakan sesat.

“Semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras ajaran sesat ini agar ia tidak disebarkan semula setelah ia diharamkan.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan terutamanya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar turut serta memainkan peranan bagi memastikan ajaran ini tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,” katanya, hari ini.

Related Articles

Tambah Wan Salim, di Pulau Pinang, ajaran Qadiani atau Ahmadiah diputuskan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, bilangan 2/2017 dan telah diwartakan.

Menurutnya, terdapat beberapa kesalahan dan dakwaan palsu di dalam video yang tular oleh ajaran tersebut, antaranya Imam Mahdi akan mengubah syariat termasuk ibadat solat.

“Ia ternyata tidak benar kerana menurut kepercayaan ahli Sunnah Wal Jama’ah, berdasarkan hadis-hadis mutawatir, Imam Mahdi tidak akan membawa sebarang ajaran baru yang bercanggah dengan syariat yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Begitu juga dakwaan bahawa Kaabah yang asal bukan terletak di Makkah tetapi di Petra, Jordan adalah bercanggah dengan fakta sejarah malah dengan sirah atau biografi Nabi Muhammad sendiri yang dirakam dengan rapi dan teliti oleh ahli-ahli sejarah seperti Abu Ishak, At-Tabari, Ibnu Kathir dan ramai lagi,” tambah Wan Salim.

Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace telah menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Menggunakan platform media sosial, gerakan itu cuba menyebarkan dakyah mereka menerusi video pendek yang antaranya jelas mempertikaikan Islam dan ulama.

Berdasarkan laman sesawang mereka, agama berkenaan diasaskan individu bernama Ahmad Ismail atau dikenali oleh pengikutnya sebagai Imam Ahmad Al-Hassan berasal dari Basra, Iraq.

Show More

Related Articles

Back to top button