Berita Semasa

Gangguan bekalan elektrik jejaskan bekalan air

69,000 pengguna air di daerah Barat Daya, Pulau Pinang terjejas

GEORGE TOWN – Seramai 69,000 pengguna di daerah Barat Daya di sini mengalami gangguan bekalan air sejak awal pagi tadi.

Antara kawasan terlibat ialah Batu Itam, Bukit Belah, Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Ara, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Gelugor, Pulau Betong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulai Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, gangguan itu berlaku selepas kegagalan sebuah 11kV Medium Voltage Drive menyebabkan Rumah Pam Bukit Dumbar 2 (BD2) terhenti tiba-tiba kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Insiden itu telah menghalang PBAPP daripada mengepam air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada pengguna air di daerah berkenaan iaitu di kawasan dari Gelugor ke Bukit Penara di Balik Pulau.

“Gangguan elektrik di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar awal pagi tadi telah menjejaskan perkhidmatan bekalan air untuk kira-kira 69,000 pengguna air Pulau Pinang di Barat Daya (DBD).

“Kakitangan PBAPP di bawah protokol pelan respons kecemasan (ERP) telah berusaha untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air menjelang pukul 5 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, tambahnya, bekalan air telah dipulihkan untuk kira-kira 40,000 pengguna iaitu 58 peratus daripada pengguna terjejas.

“Pada kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, selepas memulihkan sistem elektrik dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kontraktor elektrik, PBAPP memulakan semula Rumah Pam BD2.

“Sejak itu, pasukan kerja PBAPP telah menjalankan kerja-kerja menyahudara pantas di semua saluran paip utama DBD untuk menyelesaikan isu kunci udara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Pathmanathan berkata, PBAPP memohon maaf di atas semua kesulitan yang dialami pengguna yang terjejas.

“Ini adalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berpunca daripada kejadian elektrik secara tiba-tiba.

“PBAPP sedang berusaha secepat mungkin untuk memulihkan bekalan air sepenuhnya.

“Pengguna air yang mengalami masalah bekalan selepas pukul 5 petang hari ini diminta menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 04-255 8 255 untuk nasihat dan bantuan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button