Pengawal peribadi didakwa dipaksa makan babi, polis ambil keterangan 4 individu
PETALING JAYA – Polis telah merakam keterangan empat individu, termasuk seorang senator berusia 38 tahun, bagi melengkapkan kertas siasatan kes seorang pengawal peribadi beragama Islam didakwa dipaksa memakan daging babi.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata, kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan dan arahan selanjutnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Timur Laut di IPD Timur Laut, George Town, hari ini, lapor Bernama.
Jumaat lepas, polis membuka kertas siasatan susulan laporan polis daripada seorang senator bahawa dirinya difitnah kononnya memaksa pengawal peribadinya memakan daging babi.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, polis sedang mengumpul maklumat berhubung beberapa individu dipercayai ahli geng dua lelaki warga Vietnam terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang dan pejabat di Pulau Pinang serta Kedah, yang maut ditembak polis di Jalan Bukit Panchor Jumaat lepas.
Beberapa individu itu, yang juga warga Vietnam, dipercayai masih berada di negara ini, dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan, katanya.
Jumaat lepas, kedua-dua lelaki warga Vietnam itu mati akibat tembakan di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menjumpai dua parang serta pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah, kilang dan pejabat.