Selangor mohon tunda perlawanan Piala Sumbangsih
KUALA LUMPUR – Selangor FC telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat ini.
Menurut Selangor FC dalam satu kenyataan, ia rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku kebelakangan ini.
“Kami berharap faktor-faktor yang dinyatakan dalam surat permohonan tersebut akan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak FAM dan MFL,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini tular khabar angin bahawa skuad Gergasi Merah menarik diri untuk mengharungi perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini.
Kes membabitkan tonggak utama pasukan Selangor, Faisal Halim telah meninggalkan kesan terhadap pasukan itu.
Pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara kelmarin.
Kejadian itu, menyebabkan Faisal berada dalam kritikal dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.