FIFA sahkan Mats Deijl tak layak wakili Harimau Malaya
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah memutuskan pemain kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl, tidak layak untuk mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Menurut kenyataan FAM, FIFA membuat keputusan itu selepas meneliti dokumentasi yang diserahkan, di mana pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya, dan bukannya daripada datuk atau nenek, seperti yang ditetapkan dalam syarat kelayakan FIFA.
“Berdasarkan peraturan FIFA, pemain perlu mempunyai pertalian darah melalui datuk atau nenek untuk mewakili sesebuah negara.
Dalam kes Deijl, beliau hanya mempunyai kaitan melalui moyang sebelah ayahnya,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Deijl menunjukkan minat untuk menyertai Harimau Malaya dan pada 27 Jun lalu, FAM telah menghubungi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan kelayakannya.
Setelah berbincang, pemain tersebut menyerahkan dokumen berkaitan salasilah keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai kaitan dengan Malaysia, termasuk sijil kelahirannya serta dokumen kelahiran bapanya, datuknya (sebelah ayah) dan moyangnya.
Moyang Deijl, yang merupakan ibu kepada datuknya, dilahirkan di Singapura pada 24 Jun 1893, ketika Singapura masih sebahagian dari Tanah Melayu.
FAM kemudian merujuk perkara ini kepada FIFA pada 23 September lalu untuk pengesahan. Namun, FIFA melalui surat balas bertarikh 25 September memaklumkan bahawa keturunan melalui moyang tidak mencukupi untuk melayakkan Deijl mewakili Malaysia.
Berdasarkan Artikel 8 Peraturan FIFA, seseorang pemain hanya layak mewakili negara jika dia atau ibu bapanya, atau datuk-neneknya lahir di negara tersebut, atau jika pemain telah menetap lebih lima tahun di negara itu.
“FAM menghargai minat yang ditunjukkan Deijl untuk mewakili Malaysia, tetapi terpaksa akur dengan keputusan FIFA. Pihak kami turut mengucapkan terima kasih atas kesungguhan yang ditunjukkan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, FAM turut memaklumkan bahawa mereka telah berhubung dengan beberapa pemain lain yang dicadangkan melalui platform media sosial. Bagaimanapun, setakat ini tiada calon yang memenuhi syarat dokumentasi FIFA.
FAM akan terus berusaha mencari pemain berbakat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.