PM dijangka rasmi Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia, Majlis Ulama Asia 2024
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 dan Majlis Ulama Asia 2024 di sini esok.
Menurut Muslim World League (MWL), persidangan anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam Arab Saudi itu adalah yang terbesar dalam menghimpunkan barisan pemimpin agama di benua Asia.
“Matlamat persidangan adalah untuk menekankan kepentingan agama dalam menggalakkan keamanan dunia, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan meneroka cara kolaborasi masa kini, di samping melancarkan inisiatif yang terhasil daripada Piagam Makkah serta menonjolkan nilai-nilai agama yang mulia.
“Persidangan ini menyaksikan penerimaan tajaan dan penyertaan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung MWL yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa bersama kira-kira 2,000 tokoh agama serta intelektual dari 57 negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MWL berkata, persidangan itu turut mengangkat tema ‘Promoting Interfaith Harmony among Followers of Religions iaitu menggalakkan keharmonian antara agama.
“Ia akan membincangkan beberapa tema yang berkaitan dengan pluralisme, toleransi, kesederhanaan, pendidikan, jalinan kerjasama, dan persamaan inklusif,” katanya lagi.