Chelsea belasah West Ham United, naik ke slot Eropah
LONDON – Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea membelasah seteru Kota London, West Ham United 5-0 untuk meletakkan kedudukan mereka di tangga ketujuh, seterusnya memperolehi peluang slot ke saingan Uefa Conference League (UECL).
Jaringan gol pertama Chelsea bermula pada minit ke-15 apabila Cole Palmer menjaringkan gol yang ke-21 dia musim ini.
Kemudian kapten pasukan, Conor Gallagher menggandakan kedudukan dengan jaringan ‘volley’ menerjah ke gawang gol West Ham pada minit ke-30.
Pemain sayap muda Chelsea, Noni Madueke pantas menjadikan keputusan 3-0 melalui tandukannya ketika sepakan penjuru, enam minit selepas gol kedua Chelsea.
Pada separuh masa kedua menyaksikan Nicolas Jackson menjaringkan dua gol melalui gaya pergerakan pasukan yang menarik untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar buat pasukan biru itu.
The Blues itu kini berjaya meraih empat kemenangan berturut-turut di tempat sendiri, meletakkan mereka berada dalam jarak yang rapat untuk ke Liga Europa (UEL).
Dalam pada itu, perlawanan tersebut memperlihatkan Chelsea telah mencatatkan sebanyak 24 gol di halaman sendiri dalam tujuh perlawanan liga sejak Februari lalu.
Pada awal musim Chelsea menghadapi permulaan yang suram, apabila mereka hanya mampu berada di kedudukan pertengahan liga EPL, kini telah memintas kedudukan Manchester United dengan perbezaan gol.
Sementara itu, Chelsea akan menghadapi baki tiga perlawanan terakhir mereka menentang Nottingham Forest, Brighton & Hove Albion dan Bournemouth.