Berita Semasa

Lima termasuk dua anggota tentera dirawat di hospital akibat strok, kelesuan haba

KUALA TERENGGANU – Lima individu termasuk dua anggota tentera dimasukkan ke hospital akibat cuaca panas yang melanda di Terengganu ketika ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua lima individu tersebut merupakan antara tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba yang direkodkan berlaku sepanjang April lalu.

Setakat hari ini, katanya, hanya seorang pesakit iaitu seorang lagi anggota tentera masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Sehingga hari ini, terdapat tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba telah dilaporkan yang melibatkan dua anggota tentera, seorang pekerja ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), seorang kanak-kanak sekolah dan seorang warga emas,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Dr Kasemani, empat daripadanya sudah dibenarkan keluar hospital manakala seorang lagi masih dirawat.

Dr Kasemani menambah, cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino turut meningkatkan pencemaran udara dan jerebu terutama akibat pembakaran sama ada secara sengaja atau tidak.

Katanya, orang ramai terutama golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak sekolah, pekerja yang terdedah kepada suhu panas dan pesakit kronik diingatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas.

“Jika perlu, hadkan aktiviti fizikal di luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut.

“Mereka yang mengalami gejala kelesuan haba dan strok haba diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button