PM X

PM zahir rasa kecewa dengan situasi semasa di Gaza

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan dan situasi semasa keganasan yang berlaku di Gaza.

Menurut Perdana Menteri, beliau berasa kusut dan lesu walaupun pelbagai usaha dilaksanakan Malaysia dalam menghentikan konflik di wilayah berkenaan.

“Di Riyadh, perkembangan mutakhir di Gaza, maklumatnya sangat tidak meyakinkan dan menggusarkan kita.

“Sepanjang malam (saya berfikir) dan hari ini berasa sangat terkesan kerana seolah-olah dunia ini menghampakan, bicara soal demokrasi, soal kemanusiaan dan menjadi manusia tinggi tamadunnya tetapi maruah dan nilai masih hambar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berakhir semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah berusaha sedaya upaya termasuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

“Saya menyatakan bukan untuk memanaskan dan mempersulitkan hubungan dua hala sebaliknya menyatakan sikap sebagai seorang manusia, mengenai hipokrasi atau kepura-puraan untuk menyokong satu pihak dan menghina satu pihak.

“Kita di Malaysia ini, saya beritahu mereka, negara pelbagai kaum, pelbagai agama dan kerajaan Madani pertahankan bersungguh-sungguh.

“Setiap denyut kesan yang dihadapi rakyat kita, sama ada Kristian, Hindu atau Buddha, itu menyentuh perasaan kita sebagai manusia dan ini yang saya faham sebagai seorang manusia,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button