Kerajaan mahu imbangi pendapatan pekerja gred rendah, tinggi
Susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam
PUTRAJAYA – Kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember tahun ini merupakan usaha kerajaan untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini berbeza dengan pendekatan pentadbiran sebelum ini, di mana pengumuman hari ini bertujuan menaikkan pendapatan kelompok bergaji rendah dan mengurangkan kenaikan di kelompok yang bergaji tinggi.
“Bagi kalangan yang (bergaji) rendah (kenaikan) mungkin cecah 25 hingga 30 peratus.
“… Saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi,” kata Anwar ketika muncul dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan di stesen televisyen negara, malam tadi..
Perdana Menteri seterusnya berkata, kenaikan melebihi 13 peratus itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.
“Walaupun pernah diperkenal dulu 35 peratus, tapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi mencecah lebih RM10 bilion,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menyifatkan pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Anwar pada masa yang sama mahu golongan berkenaan supaya terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati.
“Diharap (kenaikan) ini mendorong penjawat awam kerja lebih gigih, hentikan lembab, malas dan ketirisan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kena lebih tegas mengawal kalau ada kecelaruan atau ketirisan di jabatan kerajaan.
“Semua kementerian kena pantau supaya mulai bulan ini kita lihat peningkatan dalam semua aspek, jangan rakyat tunggu berjam-jam, tunggu kelulusan lesen lama, kena cekap kena ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik,” katanya lagi.