Chegubard didakwa atas tuduhan fitnah, hasutan hari ini
KUALA LUMPUR – Aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan fitnah dan hasutan.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, Bukit Aman mengesahkan Chegubard akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9.30 pagi ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Menurut Rafique, pertuduhan pertama ada kaitan dengan dia “menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim”, manakala pertuduhan kedua pula membabitkan kenyataan berbaur hasutan berhubung pertemuan Sultan Ibrahim dengan pengasas KK Mart, Chai Kee Kan baru-baru ini.
Kelmarin, Rafique dilaporkan berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi dan kenyataan beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.
Memetik laporan itu, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion itu.
Badrul dalam catatan Facebooknya mendakwa kasino itu adalah “hab kewangan” yang diumumkan Anwar sebelum ini.
Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini mengumumkan zon kewangan khas akan diwujudkan di kawasan Forest City bagi merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.