Azizulhasni terima darjah kebesaran Terengganu
KUALA LUMPUR – Bintang berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dikurniakan pingat Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) di Istana Syarqiyyah, semalam.
Azizul dalam satu kenyataan berkata, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu diterimanya dalam satu majlis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62.
Ujar beliau, kurniaan darjah tersebut sekali gus menjadi suntikan semangat tambahan buatnya yang bakal bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan Negeri Terengganu Darul Iman di atas pengurniaan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Pengurniaan ini akan patik jadikan sebagai tiupan semangat buat diri patik untuk berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi. Patik sungguh terharu di atas pengurniaan ini dan berasa sungguh bertuah menjadi anak jati negeri Terengganu Darul Iman
“Patik sekalian juga mendoakan agar KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu sentiasa di bawah lindungan Allah SWT dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan. Daulat Tuanku!” katanya di Facebook hari ini.
Sebagai rekod, pemenang pingat perak dan gangsa olimpik itu dikurniakan darjah kebesaran berkenaan ketika beliau dalam persiapan akhir sewaktu Olimpik Tokyo 2020, iaitu pada Julai 2021 namun hanya berkesempatan menerimanya pada tahun ini.