Indonesia buat kejutan, tewaskan Korea di suku akhir Piala Asia B-23
DOHA – Pasukan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) Indonesia sekali lagi mencipta sejarah apabila mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 selepas mengalahkan pasukan Korea Selatan di suku akhir pagi tadi melalui sepakan penalti.
Penjaga gol Indonesia B-23, Ernando Ari, menyelamatkan dua penalti untuk menjadi wira, menyingkirkan pasukan ‘Young Taegeuk Warriors’ dengan keputusan 11-10 dalam sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan bermain seri 2-2 pada masa perlawanan sebenar di Stadium Abdullah Bin Khalifa.
Gol pertama datang dari Rafael William Struick, pemain Indonesia yang bermain di Eropah dari kelab Belanda, ADO Den Haag, membuka jaringan pada minit ke-15.
Namun, keunggulan itu tidak berpanjangan apabila Korea Selatan segera menyamakan kedudukan melalui gol sendiri Komang Teguh pada minit ke-45.
Dalam separuh masa kedua, anak buah Hwang Sun-hong meningkatkan kelajuan permainan untuk mencari gol penyamaan, manakala Shin Tae-yong membuat perubahan taktikal bagi Indonesia B-23 mengukuhkan bahagian pertahanan.
Struick sekali lagi menunjukkan kehebatan dengan menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-48.
Walau bagaimanapun, Korea Selatan B-23 akhirnya terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Lee Young-Jun diarah keluar padang dengan kad merah kerana melakukan kekasaran kepada Justin Hubner pada minit ke-70.
Namun, pasukan mereka tidak menunjukkan sebarang putus asa apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui gol Jeong Sang-bin pada minit ke-84 menewaskan penjaga gol Indonesia B-23.
Kemenangan itu membawa Indonesia ke separuh akhir di mana mereka akan menentang salah satu pemenang dari perlawanan antara Uzbekistan dan Arab Saudi.
Keputusan suku akhir lain, di Stadium Jassim Bin Hamad, Jepun memanfaatkan kelebihan bermain dengan pemain lebih, selepas Yousef Abdulrahman Baliadeh dilayangkan kad merah pada minit ke-41 untuk menewaskan Qatar dengan keputusan 4-2.
Jaringan gol Jepun terhasil daripada Fuki Yamada (m-2), Seiji Kimura (m-67), Mao Hosoya (m-101), dan Kotaro Uchino (m-112), manakala gol Qatar dijaringkan oleh Ahmed Hisham Ali Musa Al-Rawi (m-24) dan Jassem Gaber Abdulsallam (m-49).
Perlawanan seterusnya akan menyaksikan antara Iraq bertemu Vietnam, pemenang dari perlawanan itu akan bertemu Jepun di Separuh akhir Piala Asia B-23.