Polis siasat bekas Ahli Parlimen lakukan gangguan seksual
KUALA LUMPUR – Seorang bekas Ahli Parlimen yang berkhidmat di sebuah badan berkanun disiasat atas tuduhan melakukan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Kota Damansara, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, siasatan terhadap individu berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan itu pada 6 Ogos lalu.
“Polis menerima laporan daripada mangsa berusia 20-an pada 6 Ogos lalu yang menyatakan diganggu secara seksual sebanyak dua kali daripada suspek ketika berada di pasar raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dakwaan mengenai perkara itu tular melalui satu rakaman video berdurasi 18 saat pada petang semalam.
Menurut Shahrulnizam, suspek yang menjawat jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif di sebuah syarikat badan berkanun itu disiasat mengikut Seksyen 507 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama.
“Kita akan merakam keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune