Kerajaan sedang rangka MoU untuk pembangkang terima peruntukan – TPM Fadillah
PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang menyiapkan kerangka Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerangka itu antara lain bertujuan memberi tumpuan membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, apabila siap kelak, ia akan diserahkan kepada pihak pembangkang untuk penilaian mereka.
“Dengan pembangkang pun apabila mereka berjumpa, saya sudah membawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Kerajaan Perpaduan, kita sudah berbincang secara prinsip sudah dipersetujui.
“Sekarang ini tengah merangka MoU, apabila sudah siap nanti, kita akan beri kepada pembangkang dan untuk mereka menilai sama ada kita perlu lagi perbincangan selepas itu.
“Kalau mereka bersetuju, tak bersetuju, apa yang tak dipersetujui sebagainya, kita akan beri perkembangan nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kompleks Sri Satria, di sini hari ini.
Fadillah bagaimanapun enggan mengulas kerangka MoU itu dengan lebih terperinci ketika ditanya, sambil berkata “supaya ia tidak mencetus andaian mana-mana pihak”.
“Tak bolehlah, nanti benda-benda yang orang kata jadi andaian, benda yang belum dipersetujui, bila kita sudah kerangka sudah ada, dimuktamad, kita boleh kongsi,” katanya lagi.