Berita Semasa

Kementerian Perpaduan anjur Seminar Koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid, beri pendedahan sejarah Kedah

KUALA LUMPUR – Bagi menambah ilmu mengenai ekonomi, politik, sosiobudaya dan sejarah diplomatik negeri Kedah, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara telah menganjurkan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat- Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, koleksi surat-menyurat itu telah diwartakan sebagai warisan dunia “Memory of the World Register” pada September 2001 oleh United Nation Educational, Scientific and Culture Organization (UNESCO), hasil usaha Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama para penyelidik tempatan.

“Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sebagai warisan dunia dipengaruhi oleh keistimewaannya sebagai satu-satunya kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang begitu bernilai dan tersusun jika dibandingkan dengan koleksi manuskrip surat-menyurat kerajaan lain di Gugusan Kepulauan Melayu silam.

“Keunikan koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sebagai satu-satunya bukti rekod bertulis mengenai Kesultanan Melayu semasa zaman pemerintahan kerajaan asing yang masih dipelihara.

“Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perasmian Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat- Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943). – Foto Facebook Kementerian Perpaduan

Terdahulu, Menteri Perpaduan merasmikan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat- Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas surat-menyurat ini boleh memberikan impak yang sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Jelas beliau, ia boleh memberikan semangat dan motivasi untuk kita mencontohi pentadbiran dan kepimpinan baginda mengurus tadbir negeri Kedah untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun persekutuan.

“Sejarah mampu mendidik masyarakat untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan dan kesalahan masyarakat terdahulu.

“Sejarah juga boleh melahirkan masyarakat yang bersyukur dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan, bersikap toleransi dan rasa kekitaan meskipun berbeza bangsa, agama dan budaya.

“Sehubungan dengan itu, Arkib Negara Malaysia juga telah mewujudkan inisiatif Hari Ini Dalam Sejarah sebagai usaha untuk meningkatkan dan menyebarluas malumat sejarah negara kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Tambah Aaron, program yang dikenali sebagai Kini Hari ini Dalam Sejarah (HIDS) boleh didapati di pelbagai platform seperti 34 saluran radio RTM, slot kapsul masa IKIM FM, portal HIDS serta melalui aplikasi HIDS di Google Play Store dan Apple App Store.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button