Hafizul Hawari mengaku tidak bersalah cuba bunuh isteri, cederakan pengawal peribadi
SEPANG – Suspek yang melepaskan tembakan terhadap seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada dua minggu lalu berdepan dua lagi pertuduhan kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hafizul Hawari, 38 tahun, berdepan pertuduhan kes cubaan membunuh dan sengaja mendatangkan kecederaan ketika tuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Azrol Abdullah pada pagi ini.
Pengurus syarikat pelancongan itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh isterinya dan telah mencederakan pengawal peribadinya.
Pada pertuduhan pertama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta jika menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, boleh berdepan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.
Pada pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian pada tempat, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, sekiranya sabit kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, peguam bela, Muhammad Naim Mahmud, memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan sedang menanggung ibu bapa yang sudah berusia yang memerlukan penjagaan.
“Tertuduh juga ada tujuh anak termasuk yang bongsu berusia tiga tahun.
“Kami memohon mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan diberikan kepada tertuduh, kami akan bersedia dengan syarat jaminan lain yang ketat dan mahu prosiding berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, memohon agar mahkamah tidak mempertimbangkan sebarang jaminan ke atasnya.
“Tertuduh ditangkap di Kota Bharu dan siasatan polis mendapati tertuduh ingin keluar dari Malaysia melalui sempadan tidak sah di negeri itu.
“Kami percaya tertuduh ada risiko melarikan diri, oleh itu kami memohon jaminan tidak ditawarkan,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Dr Azrol kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas Hafizul.
“Mahkamah mendapati tiada alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan jaminan ke atas tertuduh. Justeru, permohonan agar dibenarkan jaminan ditolak,” kata Hakim.
Mahkamah membenarkan tertuduh dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dan sebutan semula kes akan dibuat pada 23 Mei hadapan.
Terdahulu, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di Kelantan atas tujuh pertuduhan berbeza, iaitu memiliki pistol, peluru, mercun bola, memandu kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu dan memiliki tiga MyKad kepunyaan individu berbeza pada 15 April lalu.
Pada 14 April lalu, seorang suami melepaskan dua das tembakan terhadap isterinya yang sedang menunggu jemaah Umrah tiba di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 pada pukul 1.20 pagi.
Suspek itu dapat melarikan diri ke Kelantan sebelum diberkas pihak polis di Kota Bharu.