IPT diingatkan hati-hati jemput penceramah sebar naratif pro-Zionis
KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diingatkan agar berhati-hati dalam menjemput penceramah atau pensyarah yang menyebarkan naratif pro-Zionis.
Ia susulan kenyataan seorang Profesor bernama Bruce Gilley yang menyokong Israel, didakwa telah menyampaikan ceramah akademik di sebuah IPT di ibu negara baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat di X milik Profesor tersebut, Bruce secara terbuka menyelar tindakan Malaysia yang secara konsisten mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin.
“Negara yang pemimpin politiknya menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan atau rakan kongsi Amerika Syarikat,” katanya menerusi ucapan beliau di sini semalam mengenai dasar luar Malaysia.
"A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States." From my keynote address yesterday in KL on Malaysian foreign policy. pic.twitter.com/CRgXAXxmIA
— Bruce Gilley (@BruceDGilley) April 23, 2024
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz, kenyataan tersebut adalah sangat mengelirukan dan tidak boleh diterima.
“Kenyataan beliau secara palsu menggambarkan matlamat Malaysia ke arah keamanan untuk negara Palestin yang merdeka.
“Kami tidak pernah menganjurkan Holocaust kedua, malah kerajaan Zionis Israel yang kini melakukan pembunuhan beramai-ramai pada setiap saat,” katanya membalas ciapan profesor itu di X.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika dimaklumkan berkata, pihak kementerian mengambil maklum berhubung kejadian berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya.