Wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000 kerana cederakan lelaki OKU dengan air panas
BALIK PULAU – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didapati bersalah menyimbah seorang lelaki Sindrom Down dengan air panas ketika berada di dalam sebuah lif, minggu lepas.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Oo Saw Kee, 39, selepas dia mengaku bersalah mencederakan A. Solairaj, 33, di dalam lif I-Park Apartment di sini pada 19 April lepas.
Video rakaman kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial dan mengundang banyak kritikan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan jurujual itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini, dan akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda.
Dalam penghakimannya, Ahzal Fariz berkata, mahkamah mendapati kesalahan yang dibuat merupakan satu kesalahan serius, tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadap seseorang yang istimewa yang tidak melakukan sebarang provokasi terhadap Saw Kee ketika kejadian.
Berdasarkan pertuduhan, Saw Kee didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dengan menggunakan suatu alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air mengandungi air panas di lif no 2, I-Park Apartment, Jalan Rajawali, Bayan Lepas pada 9.24 pagi, 19 April lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail memohon mahkamah memberikan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan dengan begitu kejam dan video insiden dalam lif yang tular itu turut mengundang kutukan masyarakat.
Mohd Nordin juga meminta hukuman berat kerana berdasarkan kesan pernyataan saksi iaitu adik kepada mangsa, Solairaj telah melecur pada bahagian belakang badan, bahu dan leher akibat terkena air panas dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.