Ejen insurans rugi RM333,600 diperdaya pelaburan tidak wujud
IPOH – Gara-gara mempercayai skim pelaburan atas talian yang tidak wujud menerusi media sosial, seorang ejen insurans kerugian RM333,600 apabila ditipu seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai “Eva”.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun di Taman Pari, di sini pada Selasa lalu.
Katanya, mangsa mendakwa ditipu oleh seorang wanita bernama Eva yang dikenali melalui kumpulan WhatsApp daripada pautan Facebook selepas bertemu suspek pada 15 Oktober lalu Canning Garden di sini.
“Suspek dikatakan telah memperdaya pengadu untuk membuat pelaburan menggunakan aplikasi “Bain Online” yang tidak wujud.
“Antara tempoh antara 19 Okt dan 12 Dis lepas, mangsa telah melakukan 12 transaksi ke dalam lima akaun berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM333,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusri berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya membuat bayaran komisen sebanyak RM57,400 terlebih dahulu sebelum wang keuntungan daripada pelaburan itu diserahkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis ingin memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan menerusi media sosial,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.
“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune