Nahas helikopter : Agong, Sultan Selangor titah ucapan takziah
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi dua helikopter terhempas yang mengorbankan 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak hari ini.
Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri turut menzahirkan ucapan takziah dan duka cita kepada seluruh anggota keluarga mangsa nahas.
“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.
“Saya juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian ini,” titah baginda.
Dalam kejadian pagi tadi, dua buah helikopter milik TLDM terhempas selepas bertembung di udara mengorbankan kesemua 10 kru.
Helikopter model HOM dan Fennec itu dikatakan berlepas dari Padang Setiawan untuk mengadakan latihan persembahan udara sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke 90.
Turut berdukacita berikutan insiden itu adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM.
Tuanku menzahirkan rasa amat sedih kerana tragedi menyayat hati itu berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM.
“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.
“Beta amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan bersemadi dengan aman. Sesungguhnya, ini adalah satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara,” titah baginda.