Berita Semasa

Pengawal peribadi ditembak di KLIA stabil selepas jalani pembedahan 5 jam

CYBERJAYA – Pengawal peribadi yang ditembak dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berjaya menjalani pembedahan usus di Hospital Cyberjaya, semalam.

Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya, Muhammad Nur Hadith Zaini, 37, berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan yang berlangsung selama lima jam itu.

Sehubungan itu, suaminya akan menjalani pemantauan khusus daripada pihak hospital untuk tempoh lima atau enam hari bagi pembedahan usus tersebut.

“Keadaan suami saya agak stabil buat masa ini. Namun begitu, dia masih ditidurkan.

“Saya sangat-sangat bersyukur dengan perkembangan terkini keadaan suami. Doakan suami saya pulih sepenuhnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan atas pemulihan suaminya.

Dalam pada itu, Siti Noraida turut dimaklumkan bahawa buah pinggang suaminya mungkin perlu menjalani proses dialisis buat sementara waktu.

Selain itu, limpa suaminya dikatakan mengalami sedikit kecederaan akibat terkena tembakan.

“Saya mohon doa daripada semua supaya kecederaan itu mampu pulih sendiri dan suami kembali sihat seperti sediakala,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular kes di mana seorang pengawal peribadi cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek di balai ketibaan KLIA.

Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai cuba menembak isterinya namun tersasar ke individu lain.

Show More

Related Articles

Back to top button