NUTP tolak cadangan waktu persekolahan bermula 8 pagi
CYBERJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan waktu persekolahan di Semenanjung dianjak ke pukul 8 pagi.
Laporan FMT menyebut Presiden NUTP, Aminuddin Awang sebagai berkata, perubahan waktu persekolahan akan memberi kesan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan.
“Kita juga perlu melihat kebajikan guru dan murid sesi petang. Jika waktu pagi dilewatkan, sudah pasti waktu pulang sesi petang juga lewat,” katanya dalam laporan tersebut.
Semalam, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, menyarankan waktu persekolahan dianjak kepada 8 pagi, iaitu lewat 30 minit berbanding jadual sedia ada.
Katanya, kerajaan sepatutnya mempunyai rasa belas kasihan dan empati terhadap guru, ibu bapa dan anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, masalah kesesakan jalan raya tidak akan selesai hanya dengan mengubah waktu persekolahan.
“Seandainya cadangan waktu mula sekolah dilewatkan 15 minit, kita yakin ada yang melewatkan 15 minit untuk keluar rumah berbanding biasa. Jadi, isu kesesakan jalan raya untuk ke sekolah tidak akan selesai.
“Cuma apa yang tidak dipersetujui NUTP ialah apabila ada sekolah yang mewajibkan guru dan murid hadir ke sekolah lebih awal dari 7.30 pagi,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak sepatutnya memfokuskan isu lebih besar seperti beban tugas guru serta pendigitalan pendidikan.
“Ia banyak memberi impak terhadap kelancaran kerja profesional guru,” katanya.