Berita Semasa

HeiTech peroleh kontrak JPJ sebelum Farhash jadi pemegang saham – Loke

PUTRAJAYA – Keputusan pemberian kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190.1 juta kepada HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) adalah sebelum ahli perniagaan, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjadi pemegang saham dalam firma itu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemberian kontrak selama tiga tahun itu diberikan selepas Lembaga Perolehan MOT bersetuju pada 24 November tahun lalu bahawa bidaan HeiTech bagi penyelenggaraan sistem MySikap JPJ dan infrastruktur IT adalah yang terendah dan paling munasabah berbanding dua syarikat lain yang turut membuat bidaan.

“Penerimaan dihantar kepada Kementerian Kewangan bagi kelulusan akhir pada 4 Disember dan kelulusan Perbendaharaan diberikan pada 8 Februari bagi nilai RM185 juta, tidak termasuk cukai perkhidmatan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan kononnya projek itu dianugerahkan kepada HeiTech Padu kerana hubung kait Farhash yang merupakan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Loke, perkara tersebut telah dibangkitkan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama Jemaah Menteri hari ini.

Farhash muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus atau 16.1 juta unit saham yang dibeli bulan lalu.

Pada 19 Mac lalu, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Katanya, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pemberian pemberian kontrak kepada HeiTech Padu itu juga dibuat secara tender terbuka dan telah melepasi kesemua peringkat penilaian.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak berasa tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Perdana Menteri mengalu-alukan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika mana-mana pihak masih tidak berpuas hati, Perdana Menteri mengalu-alukan agar pihak terbabit membuat aduan kepada SPRM supaya siasatan terperinci boleh diadakan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button