Premis sedia khidmat GRO PATI diserbu
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan seramai 22 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah premis pusat hiburan di Bangunan Wisma Chong Khee Soon, Jalan Dr Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita warganegara Vietnam, 15 wanita warganegara Thailand dan dua orang lelaki warganegara Thailand yang berpakaian serta perwatakan wanita.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan daripada aduan awam dan risikan imigresen berkenaan kegiatan pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai Pelayan Pelanggan (GRO).
“Semasa serbuan, sebilangan warga asing telah melarikan diri dengan naik ke tingkat atas premis dan bersembunyi dalam stor di tingkat dua. Stor ini agak gelap serta dipenuhi oleh barang-barang perabot dan barangan elektrik yang telah rosak.
“Pegawai serbuan terpaksa menyelongkar di celah-celah timbunan perabot yang rosak bagi mengesan kesemua suspek sehingga mereka berjaya ditahan dan ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati pusat hiburan ini menawarkan GRO wanita asing untuk melayan dan sebagai teman pelanggan berhibur.
“Pelanggan perlu membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih. Setiap selempang berharga dari RM100 hingga RM300,” ujarnya.
Ruslin berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan Pas Jangka Panjang, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu katanya, kesemua
tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut.