Syawal: Amalan berpuasa diteruskan, raih ganjaran puasa setahun
SETELAH berakhirnya puasa Ramadan, umat Islam dianjurkan untuk meneruskan amalan-amalan sunat, dengan berpuasa pada bulan Syawal sebanyak enam hari bagi meraih ganjaran berganda yang telah dijanjikan.
Apabila masuknya bulan Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Rasulullah SAW ialah puasa enam hari.
Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim: 1164]
Maksud daripada hadis tersebut, setiap individu yang telah melengkapkan puasa Ramadan kemudian meneruskan dengan puasa enam hari di bulan Syawal, akan mendapat ganjaran pahala seolah-olah berpuasa setahun.
Puasa enam hari Syawal itu dianggap sebagai kesempurnaan ibadah puasa Ramadan dan merupakan cara mendapatkan ganjaran yang besar daripada Allah SWT.
Para ulama menghuraikan maksud di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjarkan sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadan mendapat ganjaran seperti 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula mendapat ganjaran seperti 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.
Oleh sebab itulah Allah telah menyediakan satu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.
Rasulullah SAW tidak menentukan hari-hari tertentu dalam bulan Syawal untuk berpuasa, maka umat Islam diperbolehkan untuk melaksanakan puasa ini secara berturut-turut atau terputus-putus, sehingga jumlah puasa enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.
Umat Islam dinasihati untuk meneruskan amalan-amalan sunat lain agar terus istiqamah dalam menunaikan ibadah dan kebaikan serta memohon pertolongan dari Allah SWT untuk tetap berada di jalanNya setelah berakhir bulan Ramadan.