‘Saya bersangka baik dahulu’ – Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dia memilih untuk mengamal sikap ‘husnuzon’ (bersangka baik), dan meminta syarikat kasut, Vern’s supaya membuat penjelasan dalam tempoh 24 jam.
Ini berikutan dakwaan tentang tentang kasut keluaran syarikat tempatan itu didakwa mempunyai kalimah Allah di tapaknya.
Kongsi Dr Akmal di akaun Facebook miliknya, beliau sendiri membuat penyelidikan sebelum terbaca satu catatan memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka mengakui, ia kelihatan begitu dari pemandangan matanya.
“Apabila saya lihat semula,saya mencari sebanyak mana maklumat mengenai logo di tapak kasut sedemikian. Dan saya terbaca satu posting yang memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali dan begitu juga dari pemandangan mata saya.
“Ada logiknya di situ tetapi apa sekalipun kita mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat Vern’s mengenai isu ini.
“Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa,kami berhusnuzon (bersangka baik) terlebih dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu,” katanya lagi.
Jika tiada penjelasan dikemukakan dalam tempoh 24 jam, Dr Akmal berkata, Vern’s diharap tidak menyalahkan mana-mana pihak sekiranya gerakan boikot terhadap syarikat itu berlaku.
Terdahulu, seorang individu bernama Mohd Haridz memuat naik video kasut tersebut yang dibelinya beberapa hari lalu.
Susulan penularan video tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat siasatan.