Berita Semasa

[VIDEO] KDN sita al-Quran bernilai RM3.1 juta

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyita al-Quran yang tiada perakuan serta bahan al-Quran yang mengandungi kesalahan di seluruh negara.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Nik Yusaimi Yussof berkata, misi tersebut melibatkan aktiviti penguatkuasaan Ops Mulia dan Program Advokasi Jom Exchange al-Quran (JEQ) yang diberi nama “Ke arah sifar al-Quran tiada perakuan KDN” sempena bulan Ramadan ini.

@malaysiatribune

Pelbagai bentuk tulisan al-Quran tanpa perakuan berjumlah RM3.1 juta diserahkan kepada KDN kdn #kementeriandalamnegeri #bahagianquran #cetakanquran #terbitanquran #rampasanquran #serahanalquran

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Risikan awal KDN mendapati bahawa permintaan terhadap pencetakan, penjualan dan pengedaran al-Quran dan bahan al-Quran sempena bulan Ramadan adalah tinggi. Keadaan ini mendorong pengusaha, penjual atau pengedar mengambil kesempatan dengan tidak mematuhi akta, menawarkan pelbagai pilihan al-Quran yang tiada perakuan dan bahan al-Quran yang mempunyai pelbagai kesalahan,” katanya dalam sidang media di KDN hari ini.

Katanya, Ops Mulia yang dilaksanakan oleh PK KDN telah melibatkan pemeriksaan sebanyak 1,082 premis di seluruh negara dan hasilnya sebanyak 6,962 naskah al-Quran tanpa perakuan dirampas dan 12,767 bahan al-Quran disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta.

“Program JEQ yang dijalankan telah mendapat sambutan pelbagai pihak khususnya pengguna dengan melibatkan penyerahan Al Quran tiada perakuan sebanyak 6,484 naskah yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 260,000,” katanya.

Ujarnya, KDN telah merampas pelbagai item yang mengandungi kesalahan al-Quran di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (pindaan 2023) sebanyak 26,213 unit dengan nilai keseluruhan RM3.1 juta.

Sehubungan itu, KDN menegaskan komitmen mereka untuk memastikan hanya teks al-Quran yang sahih dalam pelbagai bentuk berada di kalangan masyarakat Islam negara ini.

@malaysiatribune

KDN lancar 2 inisiatif memastikan capaian sifar Al-Quran tanpa perakuan #kdn #kementeriandalamnegeri #quran #alquran #qurantanpaperakuan #bahagianalquran #rampasan #penguatkuasa

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Katanya, KDN menegaskan mereka akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penjualan atau pengedaran al-Quran atau bahan al-Quran yang menyalahi akta.

“Masyarakat adalah dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbitkan dan menjual teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (pindaan 2023),” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sejumlah 965 jenis terbitan al-Quran telah diluluskan oleh KDN untuk dijual, dimiliki, atau diedarkan di kalangan masyarakat yang mempunyai cap perakuan dan pelekat hologram KDN.

Show More

Related Articles

Back to top button