Malaysia, Mesir senada konflik di Palestin, Lubnan mesti ditamatkan
KAHERAH – Malaysia senada dengan Mesir bahawa kedua-dua negara mesti memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan di Palestin dan Lubnan ditamatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu Palestin dan Lubnan turut menjadi isi perbincangan beliau dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, di Kaherah, hari ini.
“Kami membincangkan situasi di Palestin yang mana Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel.
“Selain itu, kami (turut) menyentuh situasi yang kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan mengakibatkan konflik yang lebih meluas di Timur Tengah,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Selain itu, kata Perdana Menteri, perbincangan mereka turut menjurus kepada usaha bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
“Hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.
“… turut menyentuh soal BRICS yang mana Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata Anwar lagi.