Berita Semasa

Jabatan Perikanan Melaka arah jualan kupang dihentikan sementara

PETALING JAYA – Jabatan Perikanan Melaka mengarahkan penjualan kupang dari negeri itu dihentikan seketika sementara kajian dilakukan untuk memeriksa punca kejadian keracunan lapan individu selepas menikmati makanan laut itu.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihak Hospital Port Dickson di sini mengesahkan kejadian keracunan makanan berpunca daripada sumber kupang dari perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu, pengusaha dan penternak kupang melalui sistem pancang, rak dan p-line dari perairan Melaka diminta menghentikan sementara pengeluaran, penjualan dan pengambilan sumber kupang ini dari perairan Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Fauzi berkata, larangan itu bersifat sementara sehingga siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perikanan negeri selesai.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan terdapat kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian ini mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, lapan individu dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dengan dua daripadanya dirawat di unit rawatan rapi selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua pasar di Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button