Berita Semasa

[VIDEO] Video raya tidak bermoral: Dr Akmal seru orang ramai boikot Aliff Syukri

PUTRAJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh menyeru rakyat Malaysia untuk memboikot barangan yang dikeluarkan oleh usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri berikutan pengeluaran video lagu hari raya yang dikeluarkannya tidak bermoral.

Dr Akmal berkata, setiap tahun individu tersebut selalu mengulangi kesilapan yang sama kerana kandungan videonya yang tidak sensitif terhadap rakyat Malaysia.

@malaysiatribune

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh gesa orang ramai boikot semua produk Datuk Aliff Syukri kerana tindakannya yang tidak serik memuat naik video lagu raya yang penuh dengan unsur tidak sopan tiap kali menjelang Aidilfitri. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Saya nak minta Datuk Aliff, ini bukan kali pertama dah banyak kali malah pada tahun 2022 telah didakwa di mahkamah dan kes itu masih berjalan hingga ke hari ini atas kesalahan yang sama.

“Takkanlah setiap tahun nak buat lepas itu nak minta maaf, tak boleh ke jaga sensitiviti umat Islam dikala bulan Ramadan ini,” katanya dalam sebuah hantaran video di Facebook hari ini.

Katanya, beliau menggesa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas supaya video tersebut disekat dan tindakan undang-undang diambil terhadap individu terlibat.

Sehubungan itu, Akmal menyeru kepada rakyat Malaysia untuk boikot semua produk yang dijual oleh individu tersebut untuk menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan usahawan kosmetik tersebut yang dianggap tidak wajar.

“Tindakan ketiga, ini bagaimana kita minta rakyat Malaysia untuk boikot KK Mart atas tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini, sama juga kita minta seluruh umat Islam bagi pengajaran yang keras kita boikot segala produk yang dikeluarkan oleh Datuk Aliff,” katanya.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya untuk memberi pengajaran kepada individu tersebut dengan tindakan boikot dan memperingatkan bahawa kesabaran rakyat Malaysia telah mencapai tahap maksimum.

“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengajar erti sebuah penyesalan pada Datuk Aliff ini dengan kita boikot semua produk yang dijual oleh beliau, cukup cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun.”

“Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan? Sila tunggu produk kamu akan diboikot. Ini bukan konten luar kotak, ini adalah konten tiada otak,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button