Berita Semasa

Dua dimasukkan ke ICU keracunan kupang di Port Dickson

PORT DICKSON – Lapan kes keracunan makanan akibat daripada pengambilan kupang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) hari ini.

Pejabat Kesihatan Daerah menerima laporan sebanyak dua kes telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes dirujuk sebagai pesakit luar.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, siasatan awal semua kes terdiri daripada beberapa keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang dibeli dari dua buah pasar sekitar Port Dickson.

“Kesemua mangsa mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot.

“Manakala dua kes teruk yang dimasukkan ke ICU mempunyai gejala paralisis,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Beliau berkata, JKNNS masih lagi menyiasat dan beberapa sampel telah diambil dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

“Turut memaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan negeri bagi mengenal pasti kes-kes yang bergejala sama melibatkan kupang dan dwicengekerang.

“JKKNS turut melaksanakan tindakan dan kawalan dengan pelbagai agensi yang berkenaan,” katanya lagi

Harlina menasihatkan orang ramai yang memakan kupang atau dwicengkerang dan mempunyai gejala supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button