Berita SemasaPM X

Kepentingan majoriti rakyat tetap diutamakan walau asas cukai diperluas – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6 peratus ke 8 peratus yang berkuat kuasa 1 Mac lalu lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, impak ke atas kos sara hidup tidak memberi kesan besar kerana kenaikan kadar itu tidak dikenakan ke atas perbelanjaan makanan dan minuman serta telekomunikasi, serta perbelanjaan utiliti seperti air dan petrol yang dikecualikan cukai perkhidmatan atau jualan.

“Kerajaan juga telah mengambil langkah mengurangkan insiden cukai berganda seperti untuk sektor logistik.

“Langkah sebegini mencerminkan pendekatan progresif Kerajaan, iaitu walaupun asas hasil diperluas, ia diimbangi dengan mengambil kira kepentingan majoriti rakyat,” kata Perdana Menteri ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rayat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan mengenai kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai SST daripada 6 peratus ke 8 peratus dan jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baharu bagi tahun 2024.

Anwar seterusnya berkata, perubahan dasar percukaian hanya melibatkan cukai perkhidmatan manakala cukai jualan masih kekal dengan skop dan kadar cukai sedia ada.

“Skop kenaan cukai perkhidmatan adalah kecil iaitu hanya ke atas 41 peratus daripada bilangan perkhidmatan yang terdapat dalam ekonomi, dengan bilangan penyedia perkhidmatan yang kecil iaitu sekitar 60,000 entiti yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Selain itu, pelbagai perkhidmatan asas lain tidak dikenakan cukai perkhidmatan seperti pendidikan; kesihatan; pengangkutan penumpang darat dan laut; pengangkutan penumpang udara bagi Rural Air Services di Sabah dan Sarawak.

“(Juga tidak dikenakan cukai termasuk) telekomunikasi prabayar kepada warganegara; penghantaran makan-minum; bekalan air; bekalan elektrik di bawah 600kWj bagi rumah kediaman; dan bekalan elektrik kepada premis perniagaan,” kata Anwar lagi.

Mengenai jumlah tambahan hasil kutipan cukai menerusi peluasan skop dan perubahan kadar cukai ini, Anwar berkata, Kerajaan menjangkakan akan mengutip hasil berjumlah 3 bilion ringgit.

Show More

Related Articles

Back to top button